Khamis, 28 Julai 2011

Kata-Kata Aluan Majlis Anugerah Teladan 1999

Penyampaian Anugerah Teladan akan diadakan pada tahun ini di Majlis Salam Lebaran bertarikh 17hb September 2011. Di ruang ini kami menyingkap kembali kata-kata aluan di majlis penyampaian Anugerah Teladan yang pertama dari Presiden PBS 1999, Tuan Haji Sabthoo bin Manis.

Petikkan kata-kata aluan Tuan Haji Sabthoo bin Manis
dari buku kecil terbitan PBS sempena peyampaian
Anugerah Bawean Teladan 1999

Assalamualaikum Wr Wb,

Alhamdulillah syukur kita ke hadrat Allah swt atas segala nikmat dan kurnianya yang dilimpahkan kepada kita semua. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Besar Muhammad saw.

Persatuan Bawean Singapura berasa bangga kerana golongan karyawan muda dalam masyarat Bawean sudah mula tampil ke hadapan untuk membantu organisasi ini menghadapi cabaran dalam alaf yang akan datang. Mereka bukan sahaja memberi idea-idea baru malahan dengan mengenalkan keilmuan dan kepakaran dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) dan globalisasi.

Sebagai langkah permulaan, dua orang karyawan muda telah menganggotai PBS dan seterusnya telah dipilih untuk duduk dalam jawatankuasa Pentadbir. Diharap akan lebih ramai lagi golongan ini yang mengikut jejak langkah mereka agar PBS akan terus hidup dan mereka akan menerajui pucuk pimpinan di masa-masa mendatang.

Masyarakat Bawean tidak perlu segan tetapi kita harus bangga kerana kita adalah sebahagian daripada rakyat Singapura yang telah banyak memberi sumbangan dalam pembanguan Singapura sejak dahulu hinggalah sekarang. Peranan dan sumbangan kita telah mendapt pengiktirafan daripada pemerintah. Dikalangan anak keturunan Bawean kita sudah pun ada yang memegang jawatan tinggi dalam pemerintah dan swasta. PBS mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan syabas kepada individu-individu yang telah mendapat tempat sebagai warga Singapura yang berjaya.

Kepada ibubapa pula, PBS sangat-sangat mengharap agar kita sentiasa memberi galakan kepada anak-anak kita supaya terus belajar dengan menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang dalam bidang pelajaran. Kita juga patut tanamkan nilai-nilai hidup dalam 'ponthuk' kepada generasi muda, dimana kita sentiasa dalam semangat tolong-menolong, bergotong-royong, bantu-membantu antara satu sama lain. Semangat 'ponthuk' masih boleh kita amalkan walaupun kita tidak lagi tinggal berkelompok-kelompok. Sebagai pilihan lain bolehlah kita bergiat dalam jawatankuasa kejiranan (RC), jawatankuasa blok dan banyak lagi jawatankuasa akar umbi dalam kejiranan kita.

Semuga PBS sentiasa mendapat tempat dalam masyarakat Singapura.

Salam hormat dari,
Haji Sabthoo Bin Manis
Presiden, PBS

Khamis, 21 Julai 2011

Sejarah Pembentukan Persatuan Bawean Singapura

Persatuan Bawean Singapura telah ditubuhkan secara rasmi pada 19hb Mar 1934 oleh masyarakat Bawean yang bermastautin di Singapura ketika itu. Persatuan ini kemudiannya didaftarkan semula selepas perang dunia kedua pada tahun 1947.

Potongan dari surat perasmian pendaftaran Persatuan Bawean Singapura

Tuan Haji Seain, mantan setiausaha agung PBS, menerangkan bahawa Persatuan Bawean Singapura telah didaftarkan dengan nama "Persatuan Bawean Association" pada tahun 1934. Apabila ada yang sedar bahawa perkataan "Persatuan" mempunyai erti yang sama dengan perkataan Inggeris "Association" maka langkah-langkah pembetulan telah diambil. Pada tahun 1947 persatuan ini didaftarkan semula dengan nama "Persatuan Bawean Singapura". 


Mengikut keterangan lanjut Tuan Haji Seain, pembentukan pertubuhan Persatuan Bawean Singapura bermula semasa jajahan British dahulu. Menurut beliau, pada ketika itu orang-orang Bawean yang berkerja dengan pegawai-pegawai British sebagai drebar selalu bersengketa sesama sendiri. Oleh kerana mereka berasal dari berbagai desa di pulau Bawean, salah faham selalu terjadi di antara mereka. Memandangkan hal yang remeh-temeh ini sering berlaku, pihak British telah mengesyorkan supaya Masyarakat Bawean yang telah menetap di Singapura ini membentuk satu pertubuhan untuk menjaga keamanan dan keharmonian hidup sebagai satu kelompok bangsa dari pulau Bawean

Persatuan Bawean Singapura di tahun 1930an

Pada zaman jajahan British, masyarakat Bawean di Singapura tinggal di pondok-pondok dari desa masing-masing. "Institusi Pondok" telah bertindak selaku pelopor bagi orang-orang dari pulau Bawean yang ingin berhijrah ke Singapura. Pondok-pondok inilah yang telah menyediakan tempat untuk berteduh dan bantuan mencari kerja. Setiap pondok mempunyai seorang Pak Lurah yang mentadbir pondok tersebut. Menurut Tuan Haji Seain, oleh kerana pondok-pondok ini tidak didaftarkan dengan pihak Registrar of Singapore Society, fungsi awal Persatuan Bawean Singapura adalah untuk menaungi semua pondok-pondok yang ada di Singapura dan Pak Lurah dari pondok-pondok tersebut menjadi ahli-ahlinya. Mereka adalah ahli-ahli yang terawal sekali di persatuaan ini.

Khamis, 14 Julai 2011

Fakta - Pulau Bawean 1999

Keratan dari buku kecil sempena Majlis Jamuan Teh Bawean Teladan 1999
Di bawah adalah tulisan mengenai Pulau Bawean dari petikan buku kecil yang di terbitkan sempena Majlis Jamuan Teh Bawean Teladan 1999


''Walaupun Pulau Bawean sangat terkenal di kalangan kita, namun tidak ramai yang mengetahui tentang pulau ini. Salah sebuah buku yang pernah dihasilkan mengenainya ialah 'Mengembara Ke Pulau Bawean' tulisan Kalam Hamidi atau nama sebenarnya Abdul Malek Abdul Hamid dan diterbitkan pertama kali dalam 1989.
Pulau Bawean terletak dekat Surabaya di Pulau Jawa. Untuk mengunjunginya kita perlu menaiki kapal mengharungi Laut Sunda Jawa. Setakat ini belum ada lapangan terbang yang didirikan di sana.
Keluasan pulau ini adalah lebih besar sedikit daripada Singapura yang luasnya ialah 625 kilometer persegi – sekitar 18 kilometer hingga 20 kilometer lebih lebar.
Walaupun belum menjadi pusat pelancongan, pulau ini lengkap dengan pembangunan di pekannya seperti pejabat-pejabat pemerintah, balai polis, pejabat pos dan telegraf, hospital, sekolah serta bangunan datuk bandar dan kastam. Namun, kenderaannya boleh dibilang dengan jari. Mengikut jangkaan terbaru, bilangan penduduk Pulau Bawean ialah sekitar 86,000 orang. Jumlah kampong kediaman sebanyak 30 buah.
Bilangan penduduknya mungkin kerana ramai yang merantau ke luar negeri. Di Singapura saja penduduk asal Pulau Bawean dianggar sekitar 100,000 orang.
Setiap kampong mempunyai sekurang-kurangnya sebuah masjid tetapi surau-surau bertaburan di sana sini memandangkan seluruh penduduk Pulau Bawean beragama Islam.
Kebanyakan mereka menyara hidup dengan bertani kerana tanahnya subur atau menjadi nelayan. Pernah orang berkata, campak saja batang ubi apabila hujan panas di tanah Bawean, maka tumbuhlah pucuknya.
Pulau Bawean terbahagi kepada dua kacamatan – Kacamatan Sangkapura dan Kecamatan Tambak.
Menurut buku itu, Kecamatan Sangkapura mempunyai 17 desa iaitu Desa-Desa Swahmulya, Lebak, Kotakusuma, Sungaiteluk, Patarselamat, Lebak, Bululanjang, Pudadittimur, Padakitbarat, Suwari, Kumalasa, Deketagung, Gunungteguh, Sungairujing, Balikterus, Daun, Kebuntelukdalam dan Sidogedungbatu.
Kacamatan Tambak pula mempunyai 13 desa iaitu Desa-Desa Tambak, Tanjungeri, Paremaan, Gerejeg, Pekalongan, Sukaoneng, Sukalela, Kalempanggubug, Gelam, Telukjadtidawang, Diponggo, kepuhteluk dan Kepuhlegundi.
Mengikut sejarah, nama Pulau Bawean itu bukan nama asalnya. Sebelum itu ia dikenali sebagai Pulau Majidi. Namanya bertukar kepada Pulau Bawean apabila dalam 1350 Masihi, serombongan orang, munkin pembesar negerim pergi ke Pulau Majidi. Setibanya di sana, cuaca yang mulanya berkabus menjadi terang-benderang.
Melihat perubahan suasana itu, ketua mereka secara spontan berkata 'Ba We An' yang dalam bahasa Sanskrit bermaksud 'sinar' (ba) 'matahari' (we) dan 'ada' (an). ''