PBS

Sejarah Persatuan Bawean Singapura

Persatuan Bawean Singapura telah ditubuhkan secara rasmi pada 19hb Mar 1934 oleh masyarakat Bawean yang bermastautin di Singapura ketika itu. Persatuan ini kemudiannya didaftarkan semula selepas perang dunia kedua pada tahun 1947.

Potongan dari surat perasmian pendaftaran Persatuan Bawean Singapura

Tuan Haji Seain, mantan setiausaha agung PBS, menerangkan bahawa Persatuan Bawean Singapura telah didaftarkan dengan nama "Persatuan Bawean Association" pada tahun 1934. Apabila ada yang sedar bahawa perkataan "Persatuan" mempunyai erti yang sama dengan perkataan Inggeris "Association" maka langkah-langkah pembetulan telah diambil. Pada tahun 1947 persatuan ini didaftarkan semula dengan nama "Persatuan Bawean Singapura". 


Mengikut keterangan lanjut Tuan Haji Seain, pembentukan pertubuhan Persatuan Bawean Singapura bermula semasa jajahan British dahulu. Menurut beliau, pada ketika itu orang-orang Bawean yang berkerja dengan pegawai-pegawai British sebagai drebar selalu bersengketa sesama sendiri. Oleh kerana mereka berasal dari berbagai desa di pulau Bawean, salah faham selalu terjadi di antara mereka. Memandangkan hal yang remeh-temeh ini sering berlaku, pihak British telah mengesyorkan supaya Masyarakat Bawean yang telah menetap di Singapura ini membentuk satu pertubuhan untuk menjaga keamanan dan keharmonian hidup sebagai satu kelompok bangsa dari pulau Bawean

Persatuan Bawean Singapura di tahun 1930an

Pada zaman jajahan British, masyarakat Bawean di Singapura tinggal di pondok-pondok dari desa masing-masing. "Institusi Pondok" telah bertindak selaku pelopor bagi orang-orang dari pulau Bawean yang ingin berhijrah ke Singapura. Pondok-pondok inilah yang telah menyediakan tempat untuk berteduh dan bantuan mencari kerja. Setiap pondok mempunyai seorang Pak Lurah yang mentadbir pondok tersebut. Menurut Tuan Haji Seain, oleh kerana pondok-pondok ini tidak didaftarkan dengan pihak Registrar of Singapore Society, fungsi awal Persatuan Bawean Singapura adalah untuk menaungi semua pondok-pondok yang ada di Singapura dan Pak Lurah dari pondok-pondok tersebut menjadi ahli-ahlinya. Mereka adalah ahli-ahli yang terawal sekali di persatuaan ini.