Bawean Singapura

Sejarah Bawean Singapura

Sebuah Pondok di Kampong Kapor

Penghijrahan orang-orang dari Pulau Bawean ke Singapura berlaku semenjak dahulu lagi dan yang pasti ia terjadi semasa jajahan British yang mula bertapak di pulau nelayan ini pada tahun 1819. Ia bermula dengan budaya merantau, suatu budaya Bawean yang masih diamalkan hingga hari ini.


Nusantara

Orang Bawean merantau mencari rezki di tempat orang di Nusantara dan pulang ke pangkuan keluarga dengan hasilan carian mereka. Rantauan Nusantara ini lebih dikenali oleh penjajah-penjajah barat dengan nama "The Malay Archipelago''. Ketika itu ramai orang-orang Bawean yang merantau berkerja di atas kapal. Pelbagai jenis kerja mereka lakukan. Yang berpengalaman berkerja sebagai anak kelasi. Manakala yang baru berkerja menjadi budak suruhan. Ada juga yang berkerja sebagai tukang masak dan ada pula yang menjadi pendagang sambilan.


Allahyarham Ustaz Hj Arshad
warga Bawean berhijrah ke Singapura pada tahun 1950an 

Manakala penghijrahan orang-orang dari pulau Bawean ke Semenanjung Tanah Melayu pula berlaku lebih awal lagi. Mereka telah merantau ke sana semasa British berada di Malaya pada kurun ke 18. Ketika itu Malaya lebih dikenali oleh orang-orang Bawean dengan gelaran "Selat". Penempatan awal orang-orang Bawean di Perak, Malaysia jelas membuktikan penghijrahan itu giat berlaku ketika jajahan orang-orang Inggeris ini.

Bandaraya Ipoh 2011

Sebelum kurun ke 19, Syarikat British East India hanya berminat untuk berniaga di Semenanjung Tanah Melayu [2]. Tetapi apabila dunia perniagaan di situ menjadi tidak tenteram, orang-orang Inggeris mulai masuk campur dalam hal ehwal politik [2]. Pada awal kurun ke 20, Ipoh telah menjadi kota penting di Malaya disebabkan oleh industri bijih timah dan banyak syarikat-syarikat Inggeris ditubuhkan [2]. Ini telah membuka lebih banyak ruang-ruang pekerjaan dan ramai orang-orang Bawean telah mengambil kesempatan ini merantau ke sana untuk mencari rezki.

Jalan Salak, Sungai Rokam 2011

Pada masa itulah orang-orang Bawean yang telah berkeluarga ramai yang bermastautin di Ipoh. Lama kelamaan lebih ramai lagi yang berbuat sedemikian. Masyarakat Bawean di situ terus membesar terutama sekali di kawasan Sungai Rokam. Perlahan-lahan ianya berkembang dan bertapak ke kota-kota utama seperti Kuala Lumpur, Penang dan Singapura di mana terletaknya Turf Club, tempat-tempat untuk berlumba kuda. Ini disebabkan ramai orang-orang Bawean yang berkerja sebagai penjaga kuda selain menjadi drebar peribadi kepada majikan berbangsa Inggeris dan Cina.

Rumah orang Bawean di Sungai Rokam

Kemudian masyarakat Bawean yang telah bermastautin di Singapura pula, mula mendirikan pondok-pondok (ponthuk-ponthuk) Bawean dari desa masing-masing. Mereka menjadi pelopor kepada sanak saudara dan kenalan-kenalan mereka di Pulau Bawean untuk berkunjung ke Singapura. Penghijrahan dari Pulau Bawean ke Singapura bertambah setelah perang dunia kedua apabila Jepun menyerah kalah dan penjajah Inggeris berkuasa semula di Malaya. Ini disebabkan terdapat banyak peluang perkerjaan bagi pembangunan semula kota Singapura.

Kampong Kapor 2009
Kampung Bawean Singapura yang hanya tinggal kenangan

Akan tetapi setelah Singapura merdeka dan menjadi sebuah negara pada 9 Ogos 1965, penghijrahan berkurangan. Ini disebabkan adanya undang-undang yang dikuatkuasakan menyekat penghijrahan sedemikian. Mereka yang menyeludup dan tertangkap dihantar pulang ke pulauan Indonesia seperti Batam dan Bintan. Pada tahun 1970an tiada lagi penghijrahan warga Bawean ke Singapura. -EJR

Rujukan
[2] http://en.wikipedia.org/wiki/Ipoh (Tarikh 15 June 2011)

Nota
Penulis adalah seorang berketurunan Bawean di mana keturunan sebelah ibunya berasal dari pulau Bawean yang telah berhijrah ke Ipoh, Perak ketika British giat bertapak di Semanjung Tanah Melayu. Manakala keturunan sebelah bapanya pula berasal dari pulau Bawean yang telah merantau ke Singapura pada tahun 1942, ketika jajahan British sebelum serangan Jepun pada tahun itu.