Khamis, 14 Julai 2011

Fakta - Pulau Bawean 1999

Keratan dari buku kecil sempena Majlis Jamuan Teh Bawean Teladan 1999
Di bawah adalah tulisan mengenai Pulau Bawean dari petikan buku kecil yang di terbitkan sempena Majlis Jamuan Teh Bawean Teladan 1999


''Walaupun Pulau Bawean sangat terkenal di kalangan kita, namun tidak ramai yang mengetahui tentang pulau ini. Salah sebuah buku yang pernah dihasilkan mengenainya ialah 'Mengembara Ke Pulau Bawean' tulisan Kalam Hamidi atau nama sebenarnya Abdul Malek Abdul Hamid dan diterbitkan pertama kali dalam 1989.
Pulau Bawean terletak dekat Surabaya di Pulau Jawa. Untuk mengunjunginya kita perlu menaiki kapal mengharungi Laut Sunda Jawa. Setakat ini belum ada lapangan terbang yang didirikan di sana.
Keluasan pulau ini adalah lebih besar sedikit daripada Singapura yang luasnya ialah 625 kilometer persegi – sekitar 18 kilometer hingga 20 kilometer lebih lebar.
Walaupun belum menjadi pusat pelancongan, pulau ini lengkap dengan pembangunan di pekannya seperti pejabat-pejabat pemerintah, balai polis, pejabat pos dan telegraf, hospital, sekolah serta bangunan datuk bandar dan kastam. Namun, kenderaannya boleh dibilang dengan jari. Mengikut jangkaan terbaru, bilangan penduduk Pulau Bawean ialah sekitar 86,000 orang. Jumlah kampong kediaman sebanyak 30 buah.
Bilangan penduduknya mungkin kerana ramai yang merantau ke luar negeri. Di Singapura saja penduduk asal Pulau Bawean dianggar sekitar 100,000 orang.
Setiap kampong mempunyai sekurang-kurangnya sebuah masjid tetapi surau-surau bertaburan di sana sini memandangkan seluruh penduduk Pulau Bawean beragama Islam.
Kebanyakan mereka menyara hidup dengan bertani kerana tanahnya subur atau menjadi nelayan. Pernah orang berkata, campak saja batang ubi apabila hujan panas di tanah Bawean, maka tumbuhlah pucuknya.
Pulau Bawean terbahagi kepada dua kacamatan – Kacamatan Sangkapura dan Kecamatan Tambak.
Menurut buku itu, Kecamatan Sangkapura mempunyai 17 desa iaitu Desa-Desa Swahmulya, Lebak, Kotakusuma, Sungaiteluk, Patarselamat, Lebak, Bululanjang, Pudadittimur, Padakitbarat, Suwari, Kumalasa, Deketagung, Gunungteguh, Sungairujing, Balikterus, Daun, Kebuntelukdalam dan Sidogedungbatu.
Kacamatan Tambak pula mempunyai 13 desa iaitu Desa-Desa Tambak, Tanjungeri, Paremaan, Gerejeg, Pekalongan, Sukaoneng, Sukalela, Kalempanggubug, Gelam, Telukjadtidawang, Diponggo, kepuhteluk dan Kepuhlegundi.
Mengikut sejarah, nama Pulau Bawean itu bukan nama asalnya. Sebelum itu ia dikenali sebagai Pulau Majidi. Namanya bertukar kepada Pulau Bawean apabila dalam 1350 Masihi, serombongan orang, munkin pembesar negerim pergi ke Pulau Majidi. Setibanya di sana, cuaca yang mulanya berkabus menjadi terang-benderang.
Melihat perubahan suasana itu, ketua mereka secara spontan berkata 'Ba We An' yang dalam bahasa Sanskrit bermaksud 'sinar' (ba) 'matahari' (we) dan 'ada' (an). ''

Tiada ulasan:

Catat Ulasan